SABTU lalu saya singgah untuk berurusan di sebuah bank di Taman Melawati
Kuala Lumpur. Seperti biasa kawasan tersebut sesak dengan kereta
disebabkan ada pasar tani yang memang mendapat sambutan ramai dari
penduduk sekitar kawasan itu, malah dari tempat lain juga.
Setelah meletak kereta di parkir lebih kurang 500 meter dari bank tersebut, saya keluar untuk memenuhi urusan saya itu.
Di
kaki lima bank itu saya melihat orang ramai berkerumun. Tertanya-tanya
juga hati saya apa yang berlaku, mungkinkah ada orang pengsan? Atau
berlaku rompakan? Mungkin juga kemalangan.
Menghampiri kawasan
itu segala pertanyaan terjawab. Rupanya orang ramai yang berhimpun di
situ sedang menunggu giliran membeli produk makanan ringan yang dijual
oleh seorang warga emas wanita.
Dalam pada mengatur langkah ke
arah bank, mata saya melihat keadaan itu dengan lebih jelas. Terlihat
oleh pandangan saya Mak cik warga emas itu sedang sibuk melayani
pelanggannya.
Saya perhatikan kebanyakan yang singgah, membeli
sekurang-kurangnya dua paket kerepek yang dijual dengan harga RM2.00
hingga RM10.00.
Setiap paket kerepek itu dibungkus kemas. Makcik
itu yang agak saya berumur lebih kurang 80 tahun duduk bersila di atas
simen berlapikkan sehelai kain. Di hadapannya ada beg-beg plastik
dipenuhi pelbagai jenis kerepek.
Saya melihat kesayuan pada wajah
makcik itu. Sekalipun saya tidak nampak dia tersenyum. Tapi tidak siapa
peduli. Bagi mereka bukan senyum mak cik itu yang mendorong mereka
berhenti membeli tetapi wajah sayunya.
Mungkin semula jadi
wajahnya begitu atau kerana keadaan. Tidak siapa tahu apa sebenarnya!
Pun begitu, naluri saya dapat membaca apa yang tersirat di dalam hati
makcik itu.
Setiap orang yang berhenti bertanya produk jualannya
pasti dilayan dengan baik. Semua yang bertanya saya lihat membeli
sekurang-kurangnya satu paket kerepek. Namun apabila makcik itu
mengembalikan wang baki, kesemuanya menolak. Saya dapat mendengar salah
seorang pelanggan berkata, “Makcik simpanlah baki wang itu, buat
belanja.”
Sambil memandang orang yang memberinya, makcik itu
mengangguk-anggukkan kepalanya lalu memasukkan duit itu ke dalam sebuah
bekas yang ada di atas ribanya.
Sebaik selesai urusan dan
melintasi makcik itu saya turut berhenti di hadapannya. Selepas memberi
salam dan bertanya khabar, saya bertanya berapa harga satu paket kerepek
yang dijualnya.
“Ada RM2.00 ringgit, ada RM5.00 ada juga RM10.00
bergantung kepada besarnya. Nak ke...’’ tanya makcik itu. Suaranya agak
gementar.
Saya melihat kedua-dua tangannya berkerut, urat-urat
jelas timbul gambaran usianya yang sudah lanjut. Namun dia punya
kecekalan. Tubuhnya pada saya masih sihat. Namun kudrat mungkin
terbatas.
Memandang wajahnya saya mengangguk. Kemudian memilih
dua paket kerepek pisang dan ubi. Seperti orang lain, saya juga tidak
mengambil wang baki kerana sesiapa pun yang terpandang akan wajah makcik
itu pastinya tidak akan tergamak mengambil semula wang bakinya.
Serentak
dengan itu hati saya berperang dengan pelbagai perasaan yang bertukar
ganti. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan perihal makcik tersebut.
Seorang warga emas yang kecil tubuhnya duduk bersila di atas simen
menjual makanan ringan sedangkan sepatutnya dia berehat di rumah.
Dalam
hati tertanya-tanya lagi, ke mana pergi anak cucu mahupun saudara
maranya? Menyedari tidak ada yang menunggu giliran untuk membeli di
belakang, saya meluangkan masa berbual singkat dengan makcik itu.
Katanya, dia tidak tinggal di kawasan itu tetapi datang dari kawasan
lain yang tidak mampu disebutnya. Mungkin tidak ingat atau dia enggan
berterus terang.
Saya bertanya tidakkah dia merasa penat menunggu
di situ sepanjang hari. Jawapannya, “Makcik sudah biasa... kalau tidak
jual ini, macam mana nak cari duit untuk hidup?”
Jawapannya
menjadikan saya termenung seketika. Satu jawapan yang bernas. Sayangnya
ia lahir dari bibir seorang warga emas yang sepatutnya sedang bersenang
lenang di rumah melayani cucu dan cicit.
Naluri saya terus
tertanya-tanya mengapa makcik itu dibiarkan melakukan kerja tersebut
seorang diri? Adakah kerana dia sendiri rela hati untuk berjual atau
sebab terpaksa. Lama mencari jawapan tapi tidak ada yang pasti.
Hakikatnya saya yakin makcik itu terpaksa bekerja untuk menyara
hidupnya. Itu saja kerja yang mampu dilakukannya bagi menjana
kelangsungan hidupnya.
Biarpun urusan di bank telah selesai dan
anak-anak juga semakin resah kerana saya masih enggan berganjak dari
tempat itu. Berat rasa hati hendak meninggalkan makcik itu.
Entah
kenapa saya sering terperangkap dalam keadaan begitu. Hati mudah
tersentuh terutama apabila melihat warga emas, wanita dan kanak-kanak
yang menjalani kehidupan yang meletihkan. Namun saya bersyukur kerana
masyarakat kita amat penyayang dan prihatin. Contohnya seperti yang saya
ceritakan, tidak henti-henti orang berhenti membeli.
Saya tidak
tahu berapa lama makcik itu sudah berniaga di situ tetapi saya yakin
tempat itu bukanlah lokasi baru makcik itu mencari rezeki. Mungkin juga
dia telah pergi ke merata tempat yang difikirnya sesuai untuk dia
mencari rezeki.
Kawasan sekitar bank itu mungkin antara tempat dia singgah untuk menjual hasil produk jualannya kerana ramai orang lalu lalang.
Apa
pun, siapa pun makcik itu, dari mana asalnya, sebagai manusia saya
benar-benar tersentuh hati dengan kegigihannya. Saya pasti makcik itu
punya semangat dan kekuatan yang hebat untuk melawan kepayahan hidupnya.
Kegigihan
makcik itu patut menjadi contoh kepada warga emas lain yang hanya
mengharapkan simpati dan belas ihsan untuk terus hidup.
Pada masa
yang sama, saya mendoakan kesejahteraan makcik itu dan berharap dalam
usia yang semakin meningkat dia tidak akan terus dibelenggu kepayahan
untuk mencari rezeki dengan kudrat yang semakin lemah dan kesihatan yang
entah sampai bila mampu bertahan.
Saya juga mengharapkan agar
satu hari nanti, dalam masa yang terdekat ini, akan ada darah daging
makcik itu yang menjenguk dan bertanya khabarnya dan seterusnya membawa
dia ke dalam kehidupan yang lebih ceria dan sempurna bagi menghabiskan
sisa-sisa hidupnya.
Menutup kata, pesanan saya untuk renungan
kita bersama. Hidup ini adalah satu perjuangan yang tidak pernah ada
penamatnya. Ia akan berhenti dengan sendiri apabila sampai saat kita di
jemput Ilahi. Wallahualam.