Ramai yang berbeza pendapat dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri
Diraja Azizan Abdul Razak tentang isu Akta Universiti dan Universiti
Kolej (AUKU), namun ia tidak sepatutnya menidakkan kehebatan MB Kedah
ini.
Berikut adalah catatan seorang wartawan Harakah, AZAMIN AMIN
tentang Azizan Razak sebagaimana yang beliau kenali. Tulisan ini sudah
lama tetapi masih relevan untuk memahami isu di Kedah.
KEDIAMAN
Rumah
dua tingkat di tepi jalan itu, sekilas pandang tiada satu pun kelihatan
istimewa. Tiada bezanya dengan rumah-rumah sebaris dengannya. Bawahnya
batu, menempatkan ruang dapur dan tamu. Tingkat atasnya kayu, tempat
sepasang suami isteri beradu dan berkumpulnya anak menantu jua cucu.
Pekarangannya agak sempit, cukup-cukup memuatkan dua buah kereta. Di
pagarnya tersidai dua karpet kecil dan sebatang mop lantai.
Sekelilingnya
beberapa pokok sederhana besar ditanam, menghijaukan laman. Tiada kolam
renang mahupun rekaan air terjun buatan yang melambangkan kemampuan
penghuninya berbelanja besar, menghias kediaman.
Sesiapa yang
lalu-lalang, baik pejalan kaki mahupun pengguna jalan raya, pasti
terlepas pandang dek kerana tiadanya nilai estitika ataupun kemuncak
kemewahan yang mampu menarik perhatian.
BANGUNKAN INSANIAH
Memadai
diceritakan antara kejayaan Ustaz Azizan bersama kerajaan Pakatan
Rakyat ini ialah berjaya membangunkan Kolej Universiti Insaniah dengan
penambahan bangunan baru di Kuala Ketil dan peningkatan mata pelajaran
yang ditawarkan.
Sebelum ini, selama 12 tahun di bawah kerajaan
lama, hanya 7 subjek ditambah sedangkan di kala pemerintahannya selama
dua tahun ini, sudah 42 subjek baru diperkenalkan.
CUKUP BERANG
"Paling
pantang, ada orang minta projek daripadanya. Dia juga cukup berang jika
sesuatu itu harganya amat mahal dan tidak munasabah. Dia begitu teliti
dan cerewet tentang duit," kata seorang kakitangan kerajaan negeri
tentang sikap MB Kedah itu terhadap perbelanjaan dan peruntukan
kewangan.
Selain itu beliau turut mengarahkan semua Exco Kerajaan
negeri, melalui potongan gaji, menyumbang dana ke Tabung Tunku Mahmud,
bagi tujuan kebajikan untuk rakyat Kedah.
Ya, memang tidak
disangkal, Ustaz Azizan begitu cermat bila masuk bab wang kerajaan.
Sikapnya itu sudah tidak menjadi rahsia lagi bahkan sebelum beliau
bergelar Menteri Besar lagi. Malah tidak pernah campur adukkan antara
wang kerajaan negeri dengan wang milik parti.
Apatah lagi dalam
hal ehwal lantikan kuasa atau jawatan, Ustaz Azizan, bapa 14 orang anak
ini tidak pernah menggunakan kuasa yang ada untuk menawarkan pekerjaan
kepada anak-anaknya di pejabat kerajaan negeri sungguhpun diketahui ada
antaranya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kata satu sumber rapat
dengan MB Kedah itu.
Ketika
mula-mula mengangkat sumpah sebagai pemimpin negeri Mac 2008 yang lalu,
rumahnya tidak mempunyai pagar. Kosong dan lapang begitu sahaja.
Namun
atas nasihat Unit Perancang Ekonomi (UPEN) demi faktor keselamatan,
Ustaz Azizan bersetuju dengan cadangan mereka supaya membina pagar rumah
dan pondok pengawal. Bagaimanapun, beliau tidak mahu menggunakan
peruntukan kerajaan negeri sebaliknya membina menggunakan duit sendiri.
HARGA KEMEJA MB
Bagi
membeli pakaian, beliau akan ke sebuah kedai cina di Simpang Empat,
Kangkong dan sebuah kedai di Pulau Pinang bagi membeli baju-baju kemeja
yang diminatinya dan kedua buah kedai ini, merupakan kedai pakaian
kegemarannya sejak dulu lagi.
Dan lebih mengujakan, ada antara
kemeja-kemeja yang dibelinya di sini, yang dipakai ketika majlis rasmi
ataupun sewaktu bertugas rata-ratanya sekitar RM19.00 sahaja!
Tidak
cukup dengan itu, jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur atau ke mana
sahaja di negara ini, beliau tidak pernah menaiki kapal terbang
sebaliknya menggunakan jalan darat semata. Ustaz Azizan 'tahan'
berjam-jam dalam kenderaan untuk ke lokasi yang jauh.
Kata
juruiring dan pengawal peribadinya, beliau tidak akan singgah di
sepanjang perjalanannya seperti dari Alor Setar ke Kuala Lumpur
sehinggalah tiba ke destinasi yang dituju. Malah masa bertolak dan
pulang tidak tentu masa, adakalanya tengah malam atau menjelang subuh.
Selain
mengurangkan kos, beliau berasa selesa dan bergerak ke sini sana
bertemu sesiapa sahaja menggunakan kereta. Cuma sesekali dijemput Tuanku
Sultan Kedah untuk menaiki pesawat peribadi Boeing 737, beliau tidak
upaya menolaknya.
HUBUNGAN DENGAN ISTANA
Bercerita
pula hubungannya dengan istana, ustaz Azizan sememangnya terkenal
dengan sikap hormatnya kepada Sultan dan institusi raja-raja. Kerana
itulah, setiap hari Rabu, di awal pagi sebelum mesyuarat exco kerajaan
negeri, beliau akan mengadap Sultan Kedah, untuk melaporkan perkembangan
dan perjalanan urusan kerajaan.
Lazimnya, para pemimpin negara atau
negeri akan menginap di hotel mewah khususnya di Kuala Lumpur bagi
urusan-urusan rasmi. Bukan seorang perbelanjaan yang ditanggung, malah
melibatkan para pegawai, setiausaha, petugas, pemandu dan pegawal
peribadi
Tidak seperti Ustaz Azizan, bagi mengelakkan pembaziran,
beliau menyewa sebuah rumah tiga bilik di lokasi yang dirahsiakan di
ibu kota untuk didiaminya bersama para petugas. Betapa cermatnya dan
bayangkan apabila perbelanjaan menginap di hotel yang boleh mencecah
RM80,000 sebulan dapat dijimatkan!
Menarik cerita MB Kedah ini
ketika berada di rumah sewanya itu. Saya bertanya makanan kesukaan
beliau dan kata pegawainya sekiranya lapar, lewat malam Ustaz Azizan
meminta pegawainya membungkus Roti Arab kuah Dal atau seperti selalunya,
hanya meminta mereka memasakkan mee segera untuknya!
SERI MENTALOON
Ya,
beliau tidak mahu menetap di Seri Mentaloon yang gah laksana istana itu
tetapi menjadikan bangunan luas itu untuk dimanfaatkan oleh rakyat bagi
apa jua program pembangunan Insan ataupun majlis-majlis rasmi, tanpa
dikenakan sebarang bayaran.
Sikap Ustaz Azizan terhadap rakyat,
kawan dan lawan sudah menjadi buah mulut orang. Mereka amat kenal gerak
gaya dan perangai Menteri Besar mereka yang cukup mesra dan suka
berseloroh. Saya sendiri pernah, menyaksikan serombongan 10 artis serta
40 krew produksi sebuah drama yang menjalankan penggambaran di Kedah
diraikan oleh Azizan di Seri Mentaloon dengan jamuan makan tengah hari.
Biarpun
rombongan itu terlewat satu jam sedangkan MB mempunyai acara di lokasi
yang lain, Ustaz Azizan masih sabar menunggu dan melayan tetamu, membuat
kebanyakannya malu tersipu. Bukti, pemimpin parti Islam ini sentiasa
terbuka kepada sesiapa sahaja.
Selain itu, Ustaz Azizan sering
mempamerkan keprihatinannya terhadap masalah dan kebajikan rakyat.
Buktinya, sejurus selepas mengadap Sultan Kedah, beliau dengan lengkap
berpakaian baju melayu bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan
terdapat 14 buah kedai hangus terbakar di Sungai Limau sewaktu cuti
Tahun Baru Cina tempoh hari.
Beliau tiba, ketika api sedang naik
menjulang sambil memerhatikan bomba dan sukarelawan memadamkan kebakaran
malah datang sekali lagi keesokan harinya bersama Tengku Bendahara
Kedah, menyampaikan sumbangan derma kilat kepada mangsa.
Begitu
juga dengan kejadian ribut kuat di Kuala Ketil yang melibatkan lebih 300
penduduk mengalami kerosakan kediaman, yang mana sehari selepas
kejadian, Ustaz Azizan tiba awal dengan pasukan rombongannya
menyampaikan sumbangan derma.
PERANGKAP WARTAWAN
Tetapi
awas, bagi sesiapa yang tidak bersedia atau cuba 'menggoreng' fakta,
akan menerima padah daripadanya yang cukup arif selok belok perangkap
wartawan. Ada masa bidasan jawapan cukup pedih sehingga wartawan begitu
berhati-hati mengelak serkap jarang.
"Sekarang ini Kedah tak ada
air, macamana Dato' Seri? tanya seorang wartawan arus perdana yang
dilihat cuba-cuba memprovokasi beliau.
"Kamu ni mandi tak pagi
tadi?" tanya Ustaz Azizan pantas, kemudian dijawab 'ya' oleh wartawan
itu, bagi mengelak dirinya dikatakan tidak mandi atau berbau busuk.
"Kalau
begitu, macamana kamu kata tak ada air. Kamu mengaji Universti mana?
Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara ada masalah kekurangan
air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa, supaya hujan,"
katanya membuat wartawan itu terdiam seribu bahasa.
RAMADAN
Ada
kisah menarik perhatian saya, ketika dititipkan semula pegawai khas MB
tentang satu usaha kejadian sabotaj yang dilakukan pihak lawan sekitar
Ramadan tahun lalu.
Waktu itu, di masjid-masjid telah teredar
ribuan risalah palsu yang menyatakan bahawa Ustaz Azizan selaku MB Kedah
akan memberi sumbangan wang saku untuk Hari Raya kepada rakyat Kedah.
Esok
paginya lebih 300 orang memenuhi pekarangan pejabat MB bagi menuntut
apa yang dijanjikan seperti yang dicanang risalah palsu itu. Ustaz
Azizan yang baru tiba ke pejabat, hairan dan terpinga dengan kehadiran
orang ramai itu, lantas memanggil para pegawainya menjelaskan apa yang
berlaku.
Anda tahu keputusannya? Jika dilihat perwatakannya yang
bengis dan tegas itu, ramai boleh mengagak tindakan selanjutnya. Namun
yang berlaku adalah sebaliknya!
Ustaz Azizan berasa simpati pula
dengan orang ramai yang tertipu dengan risalah itu. Lebih menghibakan
beliau, ada bersusah payah datang dari jauh, hulu kampung, semata-mata
berharap dan bergantung ihsan sumbangan yang dihebahkan palsu itu.
Lantas
beliau mengarahkan para pegawainya mengagihkan wang sebanyak RM50.00
seorang kepada semua yang hadir dan wang yang dikeluarkan itu datangnya
daripada poketnya sendiri!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan