Kisah dongeng ini berlaku di Tanah Emas di Timur Tengah… di mana sebuah kerajaan telah berkuasa lebih 50 tahun.
Saya dipanggil menghadiri sebuah kursus. Lebih tepat sebenarnya saya dipaksa menghadiri satu kursus.
Kursus ini tidak lain tidak bukan untuk mencuci minda saya. Saya akan
diseru membalas budi orang yang tidak pernah mengenang budi bahawa
kerana saya dan keluarga sayalah daripada bapa ke atuk saya, mereka
berada di kedudukan mereka hari ini.
Namun saya terpaksa hadir dengan hati memberontak.
“Negara kini dalam ambang kehancuran kerana pembangkang. Umat berpecah
belah kerana ada parti ajaran sesat yang pecahkan umat. Kena pertahan
kerajaan sekarang kerana mereka telah menjaga kita untuk 50 lebih tahun.
Habis umat kalau kerajaan ini digantikan dengan baru. Kita kena balas
budi kerajaan yang telah menjaga umat kita selama ini,” kata seorang
pensyarah di kursus tersebut.
Tiada hadirin yang berani berkata apa-apa. Bersorak pun tidak, bersetuju pun tidak. Semua diam mendengar.
“Sampai bila saya harus mendiamkan diri? Apakah saya nak biarkan
fitnah-fitnah ini dimasukkan dalam minda semua hadirin yang terpaksa
datang kerana mangkuk nasi mereka,” bisik di hati saya.
Kemudian pensyarah itu membuka ruang untuk sesi bersoal jawab.
Tiada yang berdiri untuk bertanya.
Saya masih bergelut dengan diri sendiri, “Nak atau tak nak?”
“Baguslah tak ada soalan. Maksudnya semua faham apa yang saya
sampaikan. Bila pangkah nanti, jangan pangkah salah tahu,” kata
pensyarah tersebut.
Terdengar kata-kata itu, kaki saya tertiba mendapat tenaga untuk bangun.
“Saya Zulkifli Ibrahim daripada Ringgung. Saya kurang bersetuju dengan
beberapa fakta yang tuan sampaikan. Kerajaan berkuasa sekian lama,
sekiranya negara ada masalah, mengapa salahkan pembangkang? Pembangkang
bukannya mempunyai kuasa.
"Kedua, kegagalan kerajaan untuk
memerintah dengan adil dan mengikut cara yang disarankan Islam selama
ini sehingga mengakibatkan umat tidak lagi bersama kerajaan, mengapa
tuan salahkan pembangkang?
"Ketiga, tuan juga tidak tepat bila
mana suruh kami membalas budi kerajaan. Bukan kami yang menggigit tangan
kerajaan, tapi kerajaan yang menggigit tangan kami, lihat cara duit
rakyat dihabiskan untuk kekayaan pemimpin-pemimpin. Mereka sebenarnya
yang tidak mengenang budi jasa kami yang mengundi mereka selama ini
dengan merompak harta kita.
"Keempat, apakah tuan tidak rasa
berdosa menyuruh kami menyokong sebuah kerajaan yang merompak dan zalim
terhadap umatnya. Umatnya sengaja dikekalkan dalam keadaan miskin daif
selama ini untuk memudahkan mereka menggunakan senjata wang untuk
membeli hati rakyat yang dalam kesusahan. Walhal kalau dah 50 tahun
lebih memerintah, ada lagi rakyat yang susah, ini semestinya salah
kerajaan, bukannya salah pembangkang. Sekian saja soalan saya.”
Saya terkejut dengan keberanian saya. Ini kursus mencuci otak, tapi
saya berani mencabar pensyarah – saya tak takut ke selepas ini saya ditransferkan ke tempat yang jauh dari keluarga? Saya tak takut ke selepas ini naik pangkat dan gaji saya terjejas?
Oh, apa yang telah saya buat? Apa yang telah saya buat?
Tetiba, hadirin memberikan tepukan gemuruh selepas dewan diam seketika. Gementar saya hilang mendengar tepukan gemuruh itu.
“Jawab! Jawab! Jawab!” hadirin membuat laungan mendesak pensyarah untuk menjawab.
Saya masih tercegat di tengah dewan berdepan dengan mikrofon.
“Senyap semua! Senyap! Dengar sini, ini jawapan saya. Semua soalan
saudara Zulkifli tak perlu jawab kerana dia agen pembangkang. Inilah
cara pembangkang huru-harakan negara,” jawab pensyarah itu dengan sinis.
Para hadirin membuat bunyi bising tanda tak setuju.
“Senyap. Listen! Ini dakyah pembangkang. Tindakan disiplin akan diambil
pada saudara Zulkifli kerana cuba mensabotaj program ini,” kata
pensyarah itu lagi.
Saya terus berlawan.
“Bertanya
soalan pun tak boleh? Bertanya soalan pun salah? Semua salah
pembangkang. Ambillah tindakan pada saya. Keangkuhan tuan sekejap
sahaja. Kerana 2 bulan sahaja lagi, langit Tanah Emas ini akan berubah
wajah. Sampai masa itu saya bimbang orang-orang macam tuan akan
terkial-kial lemas mencari pelampung,” jawab saya.
Hadirin semua bangun memberikan tepukan gemuruh.
“Ya, 2 bulan sahaja lagi. Kami tak perlu hadir program-program macam
ini. 2 bulan sahaja lagi, orang macam pensyarah ini tidak akan dibiarkan
membuli kita kerana kuasa mereka. Dah cukup lama kami bersabar. Ini
kalilah,” jerit hadirin.
Begitulah sebuah kisah dongeng di Tanah Emas di Timur Tengah yang tidak kena-mengena dengan hidup mahupun yang mati.
Keberanian Zulkifli Ibrahim telah memberi inspirasi kepada ramai untuk melawan kezaliman.
Senyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan