SEROMPONG ENTERPRISE

SALAM PERJUANGAN ! SELAMAT DATANG KE KELAB SAHABAT SITI KHADIJAH.DAPATKAN PRODUK KESIHATAN BERASASKAN HERBA ,SUSU KAMBING ,BUAH MANGGIS , HARUMAN SUCI DAN HALAL , PRODUK SEJUK BEKU , PUSAT PENDIDIKAN ISLAM PRA SEKOLAH DAN ARTIKEL-ARTIKEL MENDIDIK JIWA DI SINI!

30 November, 2014

MANISNYA KEJAYAAN INI ...

Sekarang ini kita selalu disajikan di media-media massa dan media sosial tentang kejayaan adik-adik kita memperoleh kejayaan dalam peperiksaan. Di media sosial tersebar tentang hadiah-hadiah menarik yang diperolehi oleh adik-adik ayng berjaya dalam UPSR, PMR dan SPM. Tetapi sedarkah kita ramai orang yang kurang bernasib baik diluar sana yang tidak mempunyai nasib baik seperti orang lain. Kami akan berkongsi kepada anda tentang kisah seorang murid yang bernama Ayub bin Mohadjar, yang mencatat keputusan 4A1B dalam UPSR baru-baru ini. Kisah ini telah di kongsikan oleh guru kelasnya sendiri dilaman facebook yang bernama As Syahid. Mari kita sama-sama membaca kisah ini, Bacalah walaupun panjang kerana cerita ini pasti menyentuh hati anda.. * Saya perlu menceritakan kisah ini. Ayub bin Mohadjar, anak orang kampung sahaja. Adik beradiknya sangat ramai. Pernah dahulu saya mengajar abangnya Syuaib dan tahun lalu kakaknya Siti Khadijah. Ayub mempunyai dua lagi adiknya di Tahun 5, 3 dan 2. Masih ada kakak yang bersekolah di sekolah menengah harian. Bermakna tujuh kesemuanya. Ayahnya bekerja kampung sahaja – sesekali saya melihat abangnya Syuaib atau Ayub membantu ayahnya di kampungnya. Rumah yang didirikan tanpa cat yang indah dan berhias. Tahun lalu, rumah mereka antara yang dipukul ribut. Allah mentakdirkan waktu itu saya masuk ke rumah bersama suri saya, anak lelaki saya dan sahabat saya pensyarah di IPG Puan Umaimah Mohd Idris. Kami memberikan bantuan sedaya yang mampu. Hati saya pilu dan sebak melihat pingat kebanggaan yang dicapai di sekolah digantung tepi almari rak yang usang, begitu juga itulah sahaja rak yang menempatkan semua buku dan alatan tulis. Masih ingat lagi, senarai barangan Hari Raya yang belum dibeli yang saya nampak di atas meja untuk setiap adik -beradiknya. (Yes, i cried ) Lawatan sekolah ke Seremban menaiki komuter dan ETS baru-baru ini sebetulnya dibayar sepenuhnya oleh seorang guru (diminta untuk dirahsiakan) kerana pada awalnya dia sudah berkata dia tidak mampu untuk pergi berhibur walau sekali dalam hidupnya. Bukan keperluan mengikut kata keluarganya. Ayub; saya sifatkan seorang anak yang pemalu, sekadar ‘ pengikut – follower’, tidak tahu apa yang dimahukannya. Periang dan potensi diri belum diluahkan lagi. Sepanjang tahun sekadar paling kuat 2A atau 1A. Saya sentiasa menitipkan nasihat di telinganya. Malah, leteran itu sentiasa dan acap kali tanpa jemu. Tanggungjawab saya. ” Ayub, ingatlah , emak ayah bukan orang senang “ “Ayub, kurangkan main” “Ayub, kalahkan kakak Siti yang dapat 3A2B tu” “Ayub, tengok ayah, kesiankan kerja susah” ” Ayub, dirikan solat “ Ayub hanya sekadar senyum tersengih. Tapi, saya tahu ayat-ayat saya sampai masuk ke dalam hatinya. Saya selalu teringatkan emaknya menghantar mereka adik-beradik satu motor beramai-ramai. Atau, kadangkala, Ayub atau kakaknya berjalan kaki dahulu sebelum diambil ibunya. Ia seperti adegan drama yang amat melekat dalam hati saya. Begitu jugalah gambaran dalaman rumah Ayub. Sentiasa di kepala. Kelmarin, selaku guru kelas saya memanggil nama Ayub untuk keputusan UPSRnya, saya tahu saya akan ‘banjir’ dengan air mata saya. Saya melihat ayah Ayub sendiri sedang berdiri berdebar. “Bahasa Melayu Pemahaman A Bahasa Melayu Penulisan A” Saya lihat riak mukanya lagi. ” Matematik A dan, Sains A” Saya lihat air mata Ayub sudah mengalir. Ya, dia tidak percaya. Kejutan buat dirinya. Kejutan buat warga guru. Kejutan buat keluarganya juga. Ketika mahu menyebut keputusan Bahasa Inggerisnya ialah B, saya sudah menangis hiba. Saya lihat ayahnya menangis kegembiraan. Anaknya tidak mendapat 5A tetapi dia gembira anaknya memperoleh 4A 1B. Suatu yang tidak disangka selama ini. Saya menangis kerana terkenangkan keluarganya yang susah. Betapa sukarnya saya selaku cikgu mahu menyuruh anak murid lelaki untuk berubah dan konsisten belajar. Saya membayangkan juga rumahnya yang dipukul ribut. Saya terkenangkan ‘senarai’ itu. Saya terkenangkan rak almari itu. Saya terkenangkan atap rumah yang terbang hampir hilang semuanya. Saya terkenangkan Ayub yang membantu bapanya di kebun atau kerja-kerja kampung. Saya terkenangkan Ayub yang sentiasa pemalu dan tersenyum, tidak pernah menangis selama ini, tiba-tiba menangis dengan hiba dan sebak atas kejayaan yang tidak disangkanya sendiri. Masyaallah. Kisah keluarga ini benar-benar satu inpirasi buat saya. Tentang percaya kepada misi mendidik anak bangsa hingga ke semangat yang terakhir. Akhirnya, hampir semua warga guru dan ibu bapa turut menangis mengikut air mata saya, apalagi selepas itu ayahnya datang memeluk erat anaknya. Ayahnya yang garang dan tegas – sentiasa ditakuti anak-anaknya. Ayahnya yang selalu berharap dari jauh. Namun, kasihnya hari itu telah ditunjukkan. Allah. Allah. Allah. Allahuakbar. Saya tidak akan lupakan kemanisan ini sepanjang hidup. Ia lebih bererti menjadi seorang ‘cikgu kampung’ daripada menjadi orang yang berbaju kemas, bertali leher di pejabat berhawa dingin. Hidup saya lebih bermakna di sini. Ia menambah nilai kepada diri keseluruhannya. Demi Allah. Untuk tuhanku. Tahniah Ayub, cikgu belajar sesuatu daripada kamu tentang hidup. Sayu admin memnbaca kisah ini. Semoga ALLAH memberi balasan yang baik atas apa yang telah beliau lakukan ini.- Siakapkeli.com.my FB Guru tersebut

15 Oktober, 2014

KUASA DOA !!

Alkisah sebuah kapal... Kapal yang dinaiki Hamid dan Yusof rosak akibat ribut dan mereka hanya mampu berenang ke sebuah pulau kecil yang bagaikan gurun. Dua sahabat karib itu tidak tahu apa yang boleh dilakukan selain berdoa kepada Allah swt. Untuk melihat doa siapa yang lebih kuat dan dimakbulkan, Hamid mencadangkan agar mereka membuat sempadan di pulau tersebut, dan mereka tinggal berasingan satu di Timur dan di Barat. Perkara pertama yang mereka doakan ialah makanan. Pagi keesokan, Hamid terjumpa sepohon pokok buah-buahan di dalam kawasan sempadan pulaunya. Buah itu boleh dimakan. Kawasan Yusof tiada ada apa-apa penemuan, tapi Yusof hanya senyum. Setelah seminggu, Hamid mendoakan agar dapat mendapat pakaian baru untuk ditukar. Besok harinya, ada benda terapung dibawa ombak menghala ke kawasan pulaunya. Ia adalah peti dengan pakaian baru. Di sebelah Yusof, masih tiada apa-apa, namun beliau senyum melihat Hamid mendapat baju baru. Melihat doanya dimakbulkan, Hamid mula berdoa untuk lebih banyak perkara termasuk rumah, pakaian dan lebih makanan - apa yang diminta semua diperolehi. Yusof masih tidak mempunyai apa-apa selain terpaksa menangkap ikan dan makanan laut setiap hari untuk meneruskan kehidupan. Akhirnya Hamid mendoakan agar mendapat sebuah kapal untuk meninggalkan pulau tersebut. Besok paginya, betul terdapat satu kapal yang tersandar di tepi pantai kawasannya. Hamid terus menaiki kapal tersebut dan membuat keputusan untuk meninggalkan sahabat karibnya Yusof seorang diri di pulau. Hamid merasakan Yusof tidak layak menerima segala kurniaan Allah padanya kerana doa Yusof sehingga kini tiada satupun yang dimakbulkan. Akhirnya Hamid meninggalkan Yusof dalam keadaan diam-diam ketika Yusof tidur petang. Di tengah lautan, Hamid tertidur dan termimpi… Ada suara dari langit… “Mengapa kamu sanggup meninggalkan kawan baik mu seorang diri di pulau tersebut?” Hamid menjawab, “Semua doa dia tak dimakbulkan, dia tak layak menerima apa-apa.” “Kamu tersilap!” kata suara dari langit tersebut. “Yusof hanya ada satu doa, yang dimakbulkan Allah. Jika tak ada, kamu takkan dapat apa yang kamu dapat.” “Apa dia? Apa yang didoakan Yusof sehingga saya perlu terhutang padanya? Semua ini hasil doa saya sendiri yang kuat,” kata Hamid dengan angkuh. “Yusof mendoakan agar segala doa Hamid dimakbulkan,” setelah habis kata-kata tersebut Hamid dikejut bangun oleh satu pancaran petir yang kuat. Hamid menyesal dan terus balik mencari Yusof di pulau tersebut untuk melihat apakah benar Yusof berdoa untuknya. Setibanya di pulau tersebut, Yusof gembira melihat Hamid. “Alhamdulilah. Allah Maha Esa, saya bimbang awak hilang, nasib baik Allah mendengar doa aku untuk membawa kamu kembali dengan selamat ke pangkuanku dan memberikan satu kapal kepada kita untuk meninggalkan pulau ini bersama-sama,” kata Yusof. Hamid tidak mampu berkata apa-apa mendengar kata-kata Yusof seperti apa yang dimimpikannya. Beliau hanya mampu memeluk Yusof dan memohon keampunannya atas segala kezaliman beliau terhadapnya yang tidak disedari sahabatnya. Wahai anakku, Jangan ingat perkara baik yang berlaku adalah atas doa kamu sendiri sahaja tapi ia adalah hasil daripada doa-doa anggota jamaah yang lain, rakan kamu yang turut mendoakan kebaikan pada kamu. Hargailah kawan dan jangan tinggalkan mana-mana sahabat dan orang terdekat di belakang. Senyum..

16 Julai, 2014

JOM BERDOA ..

Ya Razak..ya Fattahu ya 'Alim… Kurniakan kpd kami rezeki yg halal lg dberkati dan jdkanlah dgn rezeki itu kami semakin dekat dgnMu..sebaliknya, jgnlah kau jdkan kami drp golongan yg lupa diri setelah mndapat kurniaannMu. Ya Allah…. Bantukanlah kami dlm menjalankan urusan agama kami, Elokkanlah urusan dunia kami, yg padanya tempat kami mencari kehidupan, Elokkanlah urusan akhirat kami, yg padanya tempat kami akan kembali utk selama2nya.. jdkanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan segala kebaikan kpd kami, dan jadikanlah kematian sebagai ketenangan kpd kami dr segala kejahatan, Sesungguhnya kami ingin kembali kpdMu dgn jiwa yg tenang…. Ya Allah ya Zal jalali wal ikram… Ya Allah….Jgnlah kau jdkan ramadhan ini sbg yg terakhir buat kami, temukanlah kami dgn Ramadhan yg akn dtg… Tapi, Andai ini Ramadhan terakhir buat kami, jdkankanlah puasa kami sbg puasa yg Kau rahmati, jdkanlah ramadhan ini paling bererti, penuh dgn cahaya iman, menerangi kegelapan hati kami menuju redha serta kasih sayangmu ya Allah…jdkanlah Ramadhan ini sebagai penghapus dosa2 kami.. Ya Allah…temukanlah kami dgn lailatul qadr…pilihlah kami dikalangan hambaMu yg dpt beramal d mlm al-Qadr….Ya Allah..terimalah amalan kami..terimalah taubat kami..ampunkanlah segala dosa kami...amankanlah kehidupan kami disana nanti yg kekal abadi…kurniakanlah kpd kami syurgaMu yg maha luas nikmatnya…

15 Mei, 2014

Guruku Bukan Penceroboh ....Selamat Hari Guru 2014

Assalamualaikum. Saudara Penuduh bahawa Bangsa Cina Penceroboh. Bayangkan saudara seorang guru beragama Islam berbangsa Melayu. Sekolah pertama saudara ditugaskan katakan sebuah sekolah aliran Cina. Atau sebuah sekolah aliran Tamil. Atau apa jua aliran asalkan bukan sekolah Melayu. Asalkan yang saudara bakal didik nanti bukan orang Islam. Bayangkan pula sekolah pertama itu bukan sekadar sekolah pertama saudara ditugaskan. Bayangkan sekolah itu juga sekolah terakhir saudara. Bukan kerana saudara mati awal. Tetapi entah bagaimana sedar-sedar saudara sudah berkhidmat di sana sampai pencen. Ya, dari saat saudara pernah menjadi seorang jejaka yang bagak sehingga gigi saudara kini merongak. Rambut dahulu hitam berkilat kini menjadi putih yang amat. Apa perasaan saudara rasa-rasanya? Adakah saudara rasa terseksa? Rasa terkilan? Terasa bahawa saudara tidak berbakti pada leluhur saudara sendiri? Kalau saudara ada rasa begitu, demi Allah, saudara harus rasa malu pada Tan Gim Hoe. Siapa dia? TAN GIM HOE PENCEROBOH? Saudara tanyalah Suhaimi Sulaiman, Rafizi Ramli, Saifuddin Abdullah, Nazri Aziz hatta Nik Nazmi - siapa Tan Gim Hoe. Mr. Tan Gim Hoe. Seorang guru matematik tambahan bagi semua tokoh nasional itu. Juga guru saya. Guru pelajar-pelajar Melayu Islam Malay College Kuala Kangsar (MCKK) sejak Mr. Tan menjejak kakinya ke ranah Kuala Kangsar, berkhidmat di sekolah pertamanya itu mulai tahun 1972 hingga bersara sekitar tahun 2006. Ya, dia seorang Cina. Seorang Buddha. MCKK sekolah pertamanya. MCKK jugalah sekolah terakhirnya. Ini bermakna, tidak ada seorang pun anak didik rasminya bukan Melayu. Tidak ada seorang pun bukan Islam. Bahkan semuanya Melayu Islam. Hampir setiap hari akan ada kertas soalan beserta jawapan di belakang, tulisan tangannya sendiri. Dia pergi ke bilik cerok berhabuk itu untuk fotostat. Kemudian, dengan peluh masih belum diseka, dia terlebih dahulu mengedarkan kertas-kertas itu kepada bakal calon-calon SPM. Kalau ada tiga jalan kira jawapan bagi satu soalan, maka tiga jalan kiralah dia tulis. Dan kami, pelajar-pelajar MCKK tidak dinafikan rata-rata malas untuk mengulangkaji gunungan kertas latihan Matematik Tambahan itu. Tetapi Mr Tan Gim Hoe seakan mustahil untuk tidak rajin - sabar dengan karenah kami, seakan keletihan tiada dalam kamus kehidupannya. Maka, atas segala cerita saya tentang sosok ini, adakah Mr Tan, seorang guru Cina, seorang penceroboh? Benarlah, Tan Gim Hoe bukan seorang penceroboh. HENG GAIK PENG, MR & MRS TAN JUGA PENCEROBOH? Di Sekolah Kebangsaan Juara Cherok To'kun, Guru Bahasa Inggeris berbangsa Cina saya, Miss Heng Gaik Peng, pernah berkata dengan penuh bangga di hadapan para muridnya : “Dear students, this is my student, Za'im. He was just like you. Yesterday, he couldn't speak English that well but today, he sounds like a white man. He was a student like you but he will always be my student." Seorang guru cina memberikan inspirasi kepada anak-anak didik Melayunya dengan menggunakan contoh seorang anak didik Melayunya juga. Seorang penceroboh tidak akan pernah terlintas untuk melakukan sesuatu yang indah sebegini. Seorang penceroboh sepatutnya merobohkan motivasi anak-anak musuhnya. Benarlah, Heng Gaik Peng bukan seorang penceroboh. Saya jadi teringat pula pada sosok Mr Tan Taman Bukit Indah, guru kelas tambahan saya selama enam tahun yang bertanggungjawab menyebabkan saya menggondol 5A dalam UPSR – "You makan coklat ini, jangan makan coklat tu. Itu coklat sudah buat sembahyang". Seorang guru cina begitu beradab menjaga sensitiviti agama, halal haram makanan anak murid Melayunya meski tanpa kehadiran ibu bapa murid berkenaan juga adalah mustahil seorang penceroboh. Benarlah, Mr dan Mrs Tan Taman Bukit Indah itu bukan seorang penceroboh. APA SEBENARNYA HENDAK DISEBUT? Apa yang sebenarnya hendak saya sebut? Saya tidak mahu panjang-panjangkan. Cukuplah saya petik kembali kata-kata rakan kami, Mud Luthfi, vlogger yang terkenal itu. Kalau saudara tidak gembira dengan DAP. Cakap terang-terang, saudara tidak gembira dengan DAP. Hakikatnya, tidak semua orang suka DAP. Malah, dalam kalangan Pakatan Rakyat juga, ada juga yang tidak gembira dengan DAP. Malah, tidak semua Cina undi DAP – dan saya kira, saudara sedar akan hal itu. Semua orang ada hak untuk tidak bersetuju dengan sesuatu, termasuk juga saudara (ISMA mungkin salah satu contoh). Tetapi untuk saudara pukul rata semua dalam kalangan Bangsa Cina itu sebagai penceroboh, adakah ia sesuatu yang perlu dan bijaksana untuk mengatakan sedemikian. Kalau pun kenyataan itu benar (kerana ia bergantung kepada tafsiran naratif sejarah yang mana yang saudara imani), apa perlu hal itu ditonjolkan? Saudara tidak akan berkata bahawa Allah itu Tuhan bagi khinzir sekalipun ia benar bukan? Ini soal adab. Setiap perkara ada tempatnya. Bangsa Cina – mereka itu antara kalangan guru-guru kita, rakan-rakan sekelas kita, mereka itu apek yang jual ‘sulat khaba lama’, ada juga yang jual ‘tilam tilam tilam’, juga Datuk Lee Chong Wei dan ada juga sudah menjadi saudara seakidah kita bagi yang memeluk agama Islam. Lantaran itu, saudara tidak boleh sewenang-wenangnya mengazetkan, hanya kerana mereka itu Cina, maka mereka itu wajib DAP. Saudara, pastikan saudara jelas dengan siapa saudara tidak setuju dan atas dasar apa saudara tidak setuju. Hal ini insyaAllah akan selamatkan saudara daripada kelihatan naïf, ataupun ‘grandiose’ mahupun daripada Akta Hasutan (masih ada lagi akta ini?). Itu kata Mud Luthfi dengan beberapa editan. Dan saya bersama dengannya dalam hal ini. SERU BERHIKMAH Masalah “Cina Penceroboh” dan “Muslimat Demo Pelacur” itu punya satu titik temu. Masalah seruan. Apa yang ditutur dari benturan mulut. Bahasa yang diguna. Gelar-gelar apa yang dipakai. Saya masih ingat tafsir Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kata Tuan Guru, Nabi Muhammad tidak memanggil orang yang berhijrah ke Makkah sebagai Makkiyyun (orang-orang Makkah) atau yang membantu orang Makkah itu sebagai Ahlul Madinah (orang-orang Madinah). Tetapi baginda memanggil dengan panggilan yang begitu mesra, Muhaajirin (orang-orang yang berhijrah) dan Ansar (orang-orang yang menolong). Semuanya, bagi mengalihkan pandangan manusia daripada memanggil sesuatu atas dasar ras dan kesukuan melampau kepada panggilan yang menghargai jasa dan bakti melalui perbuatan yang digerakkan tangan dan kaki. Di sinilah mustahaknya rukun uslub (pendekatan) itu secara jujur difahami dan dilaksanakan dalam empat rukun dakwah selain daie (penyeru), mad’u (penerima seruan) dan maudu’ (subjek seruan). Termasuk dalam rukun uslub itu ialah sejauh mana berkesannya gelaran kita, panggilan dan seruan kita bagi mereka yang kita target sebagai penerima seruan. Oh, saudara tentunya lebih arif kerana telah memegang pelbagai ijazah syariah. Namun, cukuplah saya mengingatkan bahawa Junta Burma bunuh Muslim Rohingya atas dasar 'sejarah' dan istilah 'pendatang'. Dan adalah ironi andai mulut kita marah pada Junta Burma sedangkan kaki dan tangan kita sedang menuruti langkah mereka. Akhirnya, bersempena program Hujung Minggu Pelajar Tua MCKK hujung minggu ini di samping Hari Guru 16 Mei tidak lama lagi, saya kira rata-rata anak didik Mr Tan dengan bangganya akan mengatakan – Saudara, Tan Gim Hoe itu guru kami. Dan Tan Gim Hoe bukan seorang penceroboh. Terima kasih, Saudara Sang Penuduh bahawa Bangsa Cina Penceroboh - kerana saudara, saya terkenang guru-guru saya semula. Ia amat berharga dan terlalu bernilai untuk diingati. Selamat Hari Guru kepada semua guru tanpa mengira siapa pun anda! Muhammad Za'im Mohamad Yusoff Pinggiran Subang Jaya, Selangor

08 April, 2014

Jangan Dengki Dengan Rezeki Orang Lain

Satu hari si penoreh getah mengikut si nelayan ke laut untuk menangkap ikan. Si penoreh duduk di belakang kapal manakala nelayan di depan. Laut yang agak bergelora menyebabkan si penoreh agak terumbang-ambing. Melihat si nelayan asyik berjaya mengail ikan tapi tidak dia, si penoreh meminta untuk menukar posisi memancing dengan si nelayan. Si nelayan pun menukar posisi, namun situasinya sama, si penoreh masih tidak dapat mengail seekor ikan. Ikan-ikan semua seolah-olah lari mengikut si nelayan. Mungkin ini adalah masalah joran. Maka si penoreh pun meminta menukar joran dengan si nelayan. Situasi tetap sama – hanya si nelayan mendapat ikan. Laut makin bergelora, si penoreh mengalami mabuk laut dan muntah-muntah. Sesudah tiba di darat, si penoreh berkata: “Susah nak cari makan di laut. Elok buat kerja aku, lagi mudah.” Pada satu hari, si nelayan mengikuti si penoreh ke ladangnya dan mencuba menoreh getah. Ada 1,000 pokok yang perlu ditoreh bermula sebelum subuh. Si nelayan mengeluh susah. Masa menoreh, si nelayan cuai, tangan terkena sabit. Ketika ingin berehat, si nelayan terlanggar bekas menadah getah dan semua tertuang di atas kepalanya. Si penoreh menoreh pokok getah dengan cukup senang tanpa sebarang gangguan. “Susah betul kerja toreh getah. Tangkap ikan lagi mudah,” kata si nelayan. Wahai anakku, Rezeki kamu sudah ditentukan. Asalkan kamu berusaha, kamu akan mendapatnya. Jangan dengki dengan rezeki orang lain. Bersyukur pada rezeki yang Allah kurniakan pada kamu. Usah iri hati pada rezeki orang lain. Ada orang yang memang rezekinya di darat menoreh getah, dan ada yang di laut menangkap ikan. Setiap bidang ada cabarannya sendiri, namun asalkan hati kamu sentiasa dekat dengan Allah, kamu akan melihat segalanya dalam bentuk kesyukuran dan medan latihan untuk mempertingkatkan diri sebelum misi seterusnya. Senyum

03 Februari, 2014

SAMPAI KE HUJUNG NYAWA ...

Warkah ayah buat Adam Kehadapan anakku Adam yang dikasihi, Ketika kau bersiap-siap untuk memulakan hari pertama persekolahan sesi petang, ayah senang melihat dirimu yang begitu bersemangat sambil bertali leher biru dengan mengenakan baju dan seluar sekolah baru. Dan tatkala, kau mengucup tangan kasar yang pernah hinggap di tubuhmu, luluh dan tersiat-siat hati, melihat kau masih tersenyum biarpun di kakimu tersarung kasut lusuh tahun lalu dan beg sekolah yang sedikit carik di tepi. Di benak, hanya mampu berdoa agar kau tidak mewarisi segala kelemahan dan kekurangan ayah. Ayah sedar, segala impianmu, masih tidak mampu dan belum ditunaikan. Bersabarlah Adam. Malam sebelumnya, saat kau lena, ayah sukar melelapkan mata. Sesekali terdengar batuk kecilmu, ayah sedikit resah. Mula berkira-kira untuk ke klinik atau sekadar ke kedai mencari ubat sementara mencairkan kahak. Runsing, ayah lalu menatap picisan berita. Semakin baca, ayah kurang mengerti cerita ekonomi. Lebih-lebih lagi, guna istilah subsidi atau rasionalisasi. Maaflah Adam, ayah tidak sekolah tinggi. Tapi ayah yang naif ini tersinggung hati, bila menatap kata-kata Menteri yang cuba menyedapkan naluri atau mengajar cara hidup duniawi. Ukur baju di badan sendiri dan jimat cermat. Kalau naik harga, janganlah makan ayam. Kalau tak nak bayar tol, ikut jalan lama. Harga minyak naik 20 sen saja, barang dan yang lain semua naik, sebab tidak dapat dielakkan lagi. Tapi tidak harga kangkung, buat ramai yang termenung. Buntu juga ayah, sekuat mana lagi mahu perut diikat batu. Anakku Adam, Mengurangkan belanja dan tenaga, ayah pun menaiki bas selepas Subuh ke tempat kerja di ibu kota. Jika tidak, tol pergi balik RM10.20, minyak RM20.00 dan parkir kereta RM6.00 setiap hari, perlu diambil kira. Jadi, selepas turun bas ayah lebih rela berjalan kaki untuk ke stesen LRT. Lepas turun LRT, jalan kaki semula untuk sampai destinasi. Ayah lakukan itu selain senaman, dapat kurangkan beban. Paling tidak, ada duit lebihan sekali sekala dapatlah ayah beli jajan. Bukan apa, tidak tergamak hati, bila ayah balik tanpa buah tangan, kau dan adik-adikmu sudah menunggu di balik pintu dengan harapan. Tiap kali ke kedai runcit berdekatan, kau, abang dan adikmu pasti mengekori ayah. Dan setiap kali itulah, semuanya tidak pulang dengan hampa. Ada saja, air kotak, keropok, aiskrim atau paling sikit pun gula-gula sebagai habuan walaupun adakala hati ayah berdebar di kaunter bayaran, bimbang-bimbang baki tidak cukup di tangan. Pernah sekali duit tidak cukup untuk lebihan,lantas ayah 'paksa' kau, abang dan adikmu ke surau dekat rumah untuk solat berjemaah. Dan waktu itu jugalah, ayah bergegas seorang diri ke kedai, untuk beli keperluan rumah. Kalau ikut ayah, pasti macam-macam. Dan ayah tidak sanggup melihat semua berputih mata dan pulang tanpa ada jajan untuk dijamah. Adamku, Sedikit denyut di kepala bila abangmu, menyua kertas yuran RM120.00 termasuk untuk kelas tambahan. Baru selesai membeli buku-buku sekolah kau dan abang-abangmu berharga RM233.00, kemudian sepersalinan pakaian sekolah semua dengan jumlah RM113.00, tiba pula surat kuning amaran pinta jelaskan bil elektrik yang terlewat bayar, hanya RM36.00 sahaja. Tetapi lapang sedikit dada ayah, tidak perlu bayar yuran bas yang bakal berganda kerana kau, dan abang-abangmu sudah mula berdikari berjalan kaki ke sekolah. Itupun ditemani ibu. Biarpun belum sejuk peluh ibu menyiap masakan tengah hari di rumah, dengan sabar perlahan-lahan memimpin adik-adikmu untuk mengiringi kau ke pintu pagar sekolah. Oleh itu ingatlah, jika ibumu marah, janganlah kau menyanggah kerana tiap saat, jasanya kau mamah. Adam anakku, Sebenarnya liku ini bukan kisah ayah seorang atau cerita meraih simpati, tetapi lembaran kisah ayah-ayah yang lain jua. Kisah ayahnya seorang penoreh getah, peneroka Felda atau membajak sawah.Juga kisahnya ayah-ayah yang kononnya dikatakan tidak terkesan dengan kenaikan harga sebab tidak mampu memiliki kereta. Mereka ini tidak pandai mereka-reka cerita dan tidak tahu untuk menukilkan pedihnya rasa seperti ayah. Adakalanya mereka cuba meluah tapi selalunya pasrah dengan apa-apa yang diarah atau dikatakan pemerintah. Lebih hina, mereka yang membantah digelar pula 'Bughah' (penderhaka). Adam, Janganlah kau sebak, bilamana ayahmu seolah-olah menjadi pekak. Sebenarnya ayah dengar dan cuba menahan perasaan dengan aneka permintaan kau, abang dan adikmu, yang cukup mentah untuk membezakan apa itu perlu, apa itu kehendak. Hidup kita mungkin sedikit baik Adam, berbanding ayah-ayah yang diberhentikan kerja serta-merta atau tidak mempunyai kerjaya atau gajinya cukup-cukup makan sahaja. Pasti, redup mata mereka untuk merenung sinar mata anaknya. Oleh itu bersabarlah, Adam anakku. Moga semua berubah, paling tidak pun, di usia matangmu menjengah. Waktu itu, janganlah sekali-sekali alpa perintah Allah dan lupa ibumu yang bersusah payah. Anakku Adam, Ayah telah sedaya upaya berusaha namun apakan daya. Tetapi sekurang-kurangnya, kau tidak alami seperti abang sulungmu ketika kecil, ayah terpaksa isi botolnya dengan air suam, kerana tidak cukup wang untuk membeli susu. Ayah tidak dapat melupakan dan memaafkan diri sendiri, atas kesalahan dan kedaifan itu. Adam bersabarlah, ayah akan terus usaha membesarkanmu, ikhlas, sampai ke tulang putih ayah. Dan ayah hanya mampu menadah dan sesekali basah di hujung sejadah.

20 Januari, 2014

RUANG KEDAI UNTUK DISEWA

SEBAHAGIAN DARIPADA RUANG HADAPAN KEDAI YANG KAMI SEWA DI JA 7509 TAMAN BEMBAN BARU ADALAH DIBUKA TAWARAN UNTUK DISEWA KEPADA YANG BERCITA-CITA UNTUK MEMBUKA PERNIAGAAN DENGAN KOS SEWAAN YANG MAMPU DIBAYAR. RUANG KEDAI YANG BERHADAPAN DENGAN JALAN UTAMA MELAKA-BEMBAN INI SESUAI UNTUK PERNIAGAAN YANG BERSKALA KECIL YANG TIDAK MEMERLUKAN RUANG UNTUK PRODUK YANG BANYAK. PERNIAGAAN YANG DIRASAKAN SESUAI ADALAH SEPERTI KEDAI BUKU/MAJALAH/ALAT TULIS/ PHOTOSTAT , KEDAI DOBI , KEDAI JAHIT , KEDAI GUNTING RAMBUT . KEDAI BUNDLE DLL . SEWAAN YANG DITAWARKAN ADALAH SEBANYAK RM 500 SAHAJA. BERJIRAN DENGAN KAMI YANG MENGUSAHAKAN KEDAI PRODUK KESIHATAN , PRODUK-PRODUK MUSLIM , EJEN BANK BSN , RAWATAN MESIN THERAPY DR JISM . DIBAHAGIAN ATAS PULA SEDANG DIRANCANG UNTUK DIMANFAATKAN SEBAGAI PUSAT PEMBELAJARAN - TUISYEN , KELAS PENGAJIAN AL-QURAN DAN BAHASA ARAB. KEPADA SESIAPA YANG BERMINAT BOLEH HUBUNGI KAMI DI 010-6305858

19 Januari, 2014

KAMI BERHIJRAH LAGI ...

MY HALAL MART BEMBAN BERPINDAH LOKASI LAGI ...TAPI MASIH LAGI DIKAWASAN BEMBAN . KINI MY HALAL MART TELAH BEROPERASI DI : JA 7509 , TAMAN BEMBAN BARU 77200 BEMBAN JASIN MELAKA MUGA PENGHIJRAHAN KALI INI MEMBERIKAN KEBAIKAN KEPADA PERNIAGAAN KAMI. DI LOKASI BARU INI , BANYAK PERANCANGAN PERNIAGAAN YANG SEDANG DIATUR. WALAUPUN NAMANYA PERNIAGAAN ... NAMUN KONSEP DAKWAH DAN KEBAJIKAN AKAN TETAP DIDOKONG. ANTARA PERANCANGAN PERNIAGAAN YANG BAKAL DIUJUDKAN ADALAH MENGADAKAN PUSAT TUISYEN , KELAS PENGAJIAN AL QURAN , KELAS BAHASA ARAB . AKTIVITI INI TIDAK SAHAJA MENJURUS KEPADA KEUNTUNGAN SEMATA-MATA TAPI AKAN DISELITKAN DENGAN PROGRAM MOTIVASI , KESEDARAN DAN DAKWAH DEMI MEMBINA JATI DIRI DAN SHASIAH YANG TERPUJI. DOAKANLAH AGAR SEGALA PERANCANGAN INI DAPAT DIJADIKAN REALITI. TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG TERUS MEMBERIKAN SUMBANGAN , SOKONGAN DAN BIMBINGAN YANG BERBELAH BAHAGI KEPADA KAMI ...