SEROMPONG ENTERPRISE

SALAM PERJUANGAN ! SELAMAT DATANG KE KELAB SAHABAT SITI KHADIJAH.DAPATKAN PRODUK KESIHATAN BERASASKAN HERBA ,SUSU KAMBING ,BUAH MANGGIS , HARUMAN SUCI DAN HALAL , PRODUK SEJUK BEKU , PUSAT PENDIDIKAN ISLAM PRA SEKOLAH DAN ARTIKEL-ARTIKEL MENDIDIK JIWA DI SINI!

20 Oktober, 2013

BISNES = JIHAD FISABILILLAH

“Mustahil capai transformasi ekonomi menuju ke tahap negara maju tanpa kejayaan bisnes milik Melayu dan umat Islam warga majoriti Malaysia.” Itulah antara inti pati mesej ceramah saya di Konvensyen Inspirasi Usahawan anjuran bersama Radio IKIM-FM dengan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) minggu lalu di Kompleks IKIM, Kuala Lumpur. Konvensyen dirasmikan pelancarannya oleh Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, Ketua Pengarah IKIM yang turut menyampaikan ucaptama. Dewan Konvensyen dipenuhi lebih 300 peniaga dan ahli bisnes sehingga ada yang terpaksa ditempatkan di ruang lain, mengikuti acara menerusi saluran video. Majoriti peserta terdiri daripada pendengar dan pengikut setia program mingguan “Inspirasi Usahawan” siaran Radio IKIM-FM setiap Selasa jam 3 petang. Mustahil perkasa jika bisnes nafsi-nafsi Dalam kata lain, warga bisnes Melayu-Muslim berperanan kritikal dalam usaha memperkasa ekonomi: “Dalam memperjuangkan ekonomi, ahli bisnes berperanan lebih penting daripada politik, kerana di bawah sistem pacuan bisnes kuasa politik dan dasar kerajaan semata-mata tidak berupaya memperkasa ekonomi Melayu." Saya juga tegaskan: Mustahil ekonomi Melayu, Bumiputera dan umat Islam diperkasa selagi bisnes tidak dijadikan “sembilan per sepuluh” sumber rezeki dan ahli bisnes Melayu tidak membudayakan jaringan persepakatan bisnes. Paling penting, usahawan dan peniaga Melayu-Muslim tidak bertindak nafsi-nafsi, iaitu menjayakan bisnes sendirian dengan “menjaga periuk nasi masing-masing” tanpa berpadu tenaga dan berkongsi sumber, bersepakat bertindak atas dasar kerjasama dan bermuafakat. Tanpa muafakat bisnes Melayu sangat lemah daya saing, mudah ditewaskan dan pada jangka panjangnya payah dikembangkan secara tersusun dan berorganisasi bersaing di tahap tinggi. Saya juga anjurkan ahli bisnes Melayu meneladani gaya bisnes Cina yang sangat mengutamakan persepakatan dan kerjasama, iaitu menerusi jaringan kongsi (guang-xi) dan persatuan bisnes serta pertubuhan suku-kaum. Kongsi dan persatuan Cina mendukung usaha sampai berjaya ke tahap tinggi. Ini dapat mereka jayakan sekali pun tanpa sokongan dasar kerajaan khusus (seumpama Dasar Ekonomi Baru - DEB) memihak kepada mereka. Anjuran ini bukan bertujuan Melayu menciplak sepenuhnya budaya Cina berniaga - sesuatu yang mustahil dilakukan kerana Melayu bukannya Cina. Apa pun, semangat kerjasama dan “ukhuwah bisnes” antara Melayu wajib dipupuk mengikut acuan nilai hidup Islam dengan menggunakan institusi ijtimaai dan membudayakannya dalam kalangan umat Islam. Jauhi bisnes nafsu-nafsi Satu lagi sumber motivasi hebat bagi usahawan dan ahli bisnes Muslim (seperti diamalkan di Johor Corporation selama lebih dua dekad sebelum ini hingga berjaya merangsang barisan intrapreneur, atau “entrepreneur amanah” membina nilai korporat JCorp melebihi RM18 bilion), ialah menjadikan bisnes satu perjuangan bertaraf jihad, iaitu “Jihad Bisnes”. Sesungguhnya “jihad’ satu sumber motivasi kurniaan Islam sangat hebat lagi memperkasa. Jihad Bisnes menuntut usahawan dan ahli bisnes gagah dan gigih berusaha mengatasi segala halangan dan rintangan, termasuk kegagalan dan ketewasan dalam bisnes dengan semangat juang paling tinggi tanpa mengenal kalah. Paling utama, Jihad Bisnes mewajibkan segala usaha bisnes dikendalikan dengan memenuhi semua tuntutan menyempurnakan bisnes sebagai ibadah dan amalan soleh, amar makruf dan nahi mungkar, selain menjauhi rakus dan serakah. Sesungguhnya kerjaya bisnes satu ibadah jika diniatkan dan diusahakan untuk mendapat rezeki halal menyara hidup mengelakkan diri dan keluarga daripada kemiskinan dan meminta-minta. Bisnes juga antara sunnah dan kerjaya paling baik untuk setiap Muslim yang ingin bebas berdikari, menjauhkan hidup bergantung rezeki selain daripada ALLAH SWT. Namun, prasyarat utama ialah mengetepikan kaedah bisnes mengikut hawa nafsu tanpa sempadan. Lebih dari itu, bangsa Melayu dan umat Islam Malaysia belum berjaya menyempurnakan Jihad Bisnes selagi belum mencapai satu lagi tuntutan Islam di bidang ekonomi: iaitu tidak membiarkan harta kekayaan berputar hanya dalam kalangan orang kaya. Keadilan ekonomi boleh dicapai hanya setelah Melayu dan umat Islam berjaya menegakkan amanah yang diserahkan kepada manusia sebagai khalifah. Antara kewajipan ialah membina keupayaan ekonomi menghimpun harta kekayaan bertujuan memperbaiki kerosakan terhadap kehidupan di dunia hasil perbuatan tangan manusia rakus mengejar hawa nafsu. Sesungguhnya memerangi kemiskinan dan kezaliman ekonomi menerusi bisnes bertujuan menegakkan keadilan satu usaha bertaraf jihad yang dituntut oleh Islam. Di peringkat tinggi pula, ahli bisnes Melayu-Muslim dituntut berjihad bisnes secara tersusun dan berorganisasi, menepati kriteria “bunyanun marsus” seperti dinyatakan al-Quran. (Surah As-Saf, 61:4). Bisnes fi sabilillah Selepas selesai konvensyen, saya berkesempatan membaca buku berjudul “Islamic Economics - A short history” (Ekonomi Islam - Satu Sejarah Ringkas, buku setebal 450 muka) karya bersama Ahmed El-Ashker dan Rodney Wilson (2006). Paling menarik perhatian saya ialah pandangan ulama bernama Al-Shaibani (132-189H) mengenai ekonomi menerusi penulisannya “Kitab Al-Iktisab” atau “Kitab perkiraan pendapatan” yang dihuraikan dalam buku tersebut. Al-Shaibani membahagikan penggunaan ekonomi (consumption) menurut Islam kepada 3 bahagian: Pertama, tahap asas iaitu bertujuan memenuhi keperluan asas hidup (subsistence or necessities). Kedua tahap kesederhanaan hidup atau “ma’ruf” (moderation); dan ketiga, tahap mewah atau extravagance. Pada tahap asas, Al-Shaibani menegaskan berusaha satu kewajipan bertaraf ibadah, iaitu, jika tidak disempurnakan untuk menyara hidup, adalah berdosa. Kata beliau: “Dosanya lebih besar jika penggunaan asas terpaksa dikurangkan kerana malas berusaha. Sebaliknya usaha gigih sehingga dapat menambahkan kepenggunaan asas membawa lebih besar ganjaran pahalanya.” Tahap kedua ialah berusaha menyara hidup sederhana bukan bertujuan mengejar kemewahan, namun jangan sampai bakhil atau kedekut berbelanja. Pada Al-Shaibani, usaha untuk hidup sederhana tidak mengakibatkan dosa dengan syarat kesederhanaan bukan sengaja dicari, iaitu terdapat sebab munasabah di sisi Islam, misalnya kerana menumpukan tenaga dan usia menghimpun ilmu pengetahuan atau mengerjakan amalan fi sabilillah. Al-Shaibani berpendapat usaha menuju tahap ketiga iaitu memburu kemewahan tidak disenangi, malahan dilarang oleh Islam. Namun, beliau menegaskan ini bukan bermakna seorang Muslim tidak harus bekerja keras menjana pendapatan melebihi tahap hidup sederhana. Dalam apa hal sekali pun, seorang Muslim mesti bekerja keras dengan syarat pendapatan diperoleh tidak dibelanja untuk bermewah-mewah; kerana kata beliau, seperti disebut dalam al-Quran: “membazir bermewahan seumpama bersahabat dengan syaitan”. Paling menarik perhatian ialah anjuran Al-Shaibani supaya setiap Muslim bekerja keras menuju ke tahap hidup mewah kerana “pendapatan lebih tinggi boleh ditujukan membantu orang lain, untuk diwarisi pewaris bergantung hidup padanya (supaya tidak meminta-minta), membekalkan modal untuk perusahaan, membiayai aktiviti fi sabilillah, dan seumpamanya.” Kesimpulannya, bagi Al-Shaibani, menghimpun harta kekayaan menerusi usaha ekonomi, (termasuk urusan “bisnes” dalam istilah hari ini) satu ibadah, juga boleh dijadikan usaha menuju ke jalan fi sabilillah. Pada saya, prinsip ekonomi anjuran Al-Shaibani selari dengan pendirian ulama kontemporari, Dr Yusof Al-Qaradhawi mengenai “zuhud” terhadap harta kekayaan. Dalam ceramah di Konvensyen Inspirasi Usahawan, saya petik kenyataan Al-Qaradhawi daripada bukunya bertajuk “Kemiskinan dan Cara Islam Mengatasinya”: “Hadis-hadis yang memuji tentang zuhud (menjauhkan diri daripada kehidupan dunia) sama sekali tidak bermaksud memuji kemiskinan. Sebab usaha berzuhud itu sendiri menuntut seseorang untuk memiliki kemewahan dunia dan meninggalkannya.” Dr Yusof Al Qaradhawi menambah: “Orang yang benar-benar berzuhud ialah orang yang memiliki dunia tetapi ia meletakkan dunia itu di dalam genggaman tangannya, bukan dalam hatinya.” * Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)

1 ulasan:

abeytucabanilla berkata...

JTG Casino | Mahnomen-Allege | Joliet-Munlint | Davenport
JTG is a new sportsbook, 익산 출장샵 gaming 보령 출장안마 space 수원 출장안마 and destination. Get all your favorite 창원 출장마사지 casino games at the JTG location in Joliet, IN. 안동 출장안마