SEROMPONG ENTERPRISE

SALAM PERJUANGAN ! SELAMAT DATANG KE KELAB SAHABAT SITI KHADIJAH.DAPATKAN PRODUK KESIHATAN BERASASKAN HERBA ,SUSU KAMBING ,BUAH MANGGIS , HARUMAN SUCI DAN HALAL , PRODUK SEJUK BEKU , PUSAT PENDIDIKAN ISLAM PRA SEKOLAH DAN ARTIKEL-ARTIKEL MENDIDIK JIWA DI SINI!

15 Mei, 2014

Guruku Bukan Penceroboh ....Selamat Hari Guru 2014

Assalamualaikum. Saudara Penuduh bahawa Bangsa Cina Penceroboh. Bayangkan saudara seorang guru beragama Islam berbangsa Melayu. Sekolah pertama saudara ditugaskan katakan sebuah sekolah aliran Cina. Atau sebuah sekolah aliran Tamil. Atau apa jua aliran asalkan bukan sekolah Melayu. Asalkan yang saudara bakal didik nanti bukan orang Islam. Bayangkan pula sekolah pertama itu bukan sekadar sekolah pertama saudara ditugaskan. Bayangkan sekolah itu juga sekolah terakhir saudara. Bukan kerana saudara mati awal. Tetapi entah bagaimana sedar-sedar saudara sudah berkhidmat di sana sampai pencen. Ya, dari saat saudara pernah menjadi seorang jejaka yang bagak sehingga gigi saudara kini merongak. Rambut dahulu hitam berkilat kini menjadi putih yang amat. Apa perasaan saudara rasa-rasanya? Adakah saudara rasa terseksa? Rasa terkilan? Terasa bahawa saudara tidak berbakti pada leluhur saudara sendiri? Kalau saudara ada rasa begitu, demi Allah, saudara harus rasa malu pada Tan Gim Hoe. Siapa dia? TAN GIM HOE PENCEROBOH? Saudara tanyalah Suhaimi Sulaiman, Rafizi Ramli, Saifuddin Abdullah, Nazri Aziz hatta Nik Nazmi - siapa Tan Gim Hoe. Mr. Tan Gim Hoe. Seorang guru matematik tambahan bagi semua tokoh nasional itu. Juga guru saya. Guru pelajar-pelajar Melayu Islam Malay College Kuala Kangsar (MCKK) sejak Mr. Tan menjejak kakinya ke ranah Kuala Kangsar, berkhidmat di sekolah pertamanya itu mulai tahun 1972 hingga bersara sekitar tahun 2006. Ya, dia seorang Cina. Seorang Buddha. MCKK sekolah pertamanya. MCKK jugalah sekolah terakhirnya. Ini bermakna, tidak ada seorang pun anak didik rasminya bukan Melayu. Tidak ada seorang pun bukan Islam. Bahkan semuanya Melayu Islam. Hampir setiap hari akan ada kertas soalan beserta jawapan di belakang, tulisan tangannya sendiri. Dia pergi ke bilik cerok berhabuk itu untuk fotostat. Kemudian, dengan peluh masih belum diseka, dia terlebih dahulu mengedarkan kertas-kertas itu kepada bakal calon-calon SPM. Kalau ada tiga jalan kira jawapan bagi satu soalan, maka tiga jalan kiralah dia tulis. Dan kami, pelajar-pelajar MCKK tidak dinafikan rata-rata malas untuk mengulangkaji gunungan kertas latihan Matematik Tambahan itu. Tetapi Mr Tan Gim Hoe seakan mustahil untuk tidak rajin - sabar dengan karenah kami, seakan keletihan tiada dalam kamus kehidupannya. Maka, atas segala cerita saya tentang sosok ini, adakah Mr Tan, seorang guru Cina, seorang penceroboh? Benarlah, Tan Gim Hoe bukan seorang penceroboh. HENG GAIK PENG, MR & MRS TAN JUGA PENCEROBOH? Di Sekolah Kebangsaan Juara Cherok To'kun, Guru Bahasa Inggeris berbangsa Cina saya, Miss Heng Gaik Peng, pernah berkata dengan penuh bangga di hadapan para muridnya : “Dear students, this is my student, Za'im. He was just like you. Yesterday, he couldn't speak English that well but today, he sounds like a white man. He was a student like you but he will always be my student." Seorang guru cina memberikan inspirasi kepada anak-anak didik Melayunya dengan menggunakan contoh seorang anak didik Melayunya juga. Seorang penceroboh tidak akan pernah terlintas untuk melakukan sesuatu yang indah sebegini. Seorang penceroboh sepatutnya merobohkan motivasi anak-anak musuhnya. Benarlah, Heng Gaik Peng bukan seorang penceroboh. Saya jadi teringat pula pada sosok Mr Tan Taman Bukit Indah, guru kelas tambahan saya selama enam tahun yang bertanggungjawab menyebabkan saya menggondol 5A dalam UPSR – "You makan coklat ini, jangan makan coklat tu. Itu coklat sudah buat sembahyang". Seorang guru cina begitu beradab menjaga sensitiviti agama, halal haram makanan anak murid Melayunya meski tanpa kehadiran ibu bapa murid berkenaan juga adalah mustahil seorang penceroboh. Benarlah, Mr dan Mrs Tan Taman Bukit Indah itu bukan seorang penceroboh. APA SEBENARNYA HENDAK DISEBUT? Apa yang sebenarnya hendak saya sebut? Saya tidak mahu panjang-panjangkan. Cukuplah saya petik kembali kata-kata rakan kami, Mud Luthfi, vlogger yang terkenal itu. Kalau saudara tidak gembira dengan DAP. Cakap terang-terang, saudara tidak gembira dengan DAP. Hakikatnya, tidak semua orang suka DAP. Malah, dalam kalangan Pakatan Rakyat juga, ada juga yang tidak gembira dengan DAP. Malah, tidak semua Cina undi DAP – dan saya kira, saudara sedar akan hal itu. Semua orang ada hak untuk tidak bersetuju dengan sesuatu, termasuk juga saudara (ISMA mungkin salah satu contoh). Tetapi untuk saudara pukul rata semua dalam kalangan Bangsa Cina itu sebagai penceroboh, adakah ia sesuatu yang perlu dan bijaksana untuk mengatakan sedemikian. Kalau pun kenyataan itu benar (kerana ia bergantung kepada tafsiran naratif sejarah yang mana yang saudara imani), apa perlu hal itu ditonjolkan? Saudara tidak akan berkata bahawa Allah itu Tuhan bagi khinzir sekalipun ia benar bukan? Ini soal adab. Setiap perkara ada tempatnya. Bangsa Cina – mereka itu antara kalangan guru-guru kita, rakan-rakan sekelas kita, mereka itu apek yang jual ‘sulat khaba lama’, ada juga yang jual ‘tilam tilam tilam’, juga Datuk Lee Chong Wei dan ada juga sudah menjadi saudara seakidah kita bagi yang memeluk agama Islam. Lantaran itu, saudara tidak boleh sewenang-wenangnya mengazetkan, hanya kerana mereka itu Cina, maka mereka itu wajib DAP. Saudara, pastikan saudara jelas dengan siapa saudara tidak setuju dan atas dasar apa saudara tidak setuju. Hal ini insyaAllah akan selamatkan saudara daripada kelihatan naïf, ataupun ‘grandiose’ mahupun daripada Akta Hasutan (masih ada lagi akta ini?). Itu kata Mud Luthfi dengan beberapa editan. Dan saya bersama dengannya dalam hal ini. SERU BERHIKMAH Masalah “Cina Penceroboh” dan “Muslimat Demo Pelacur” itu punya satu titik temu. Masalah seruan. Apa yang ditutur dari benturan mulut. Bahasa yang diguna. Gelar-gelar apa yang dipakai. Saya masih ingat tafsir Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kata Tuan Guru, Nabi Muhammad tidak memanggil orang yang berhijrah ke Makkah sebagai Makkiyyun (orang-orang Makkah) atau yang membantu orang Makkah itu sebagai Ahlul Madinah (orang-orang Madinah). Tetapi baginda memanggil dengan panggilan yang begitu mesra, Muhaajirin (orang-orang yang berhijrah) dan Ansar (orang-orang yang menolong). Semuanya, bagi mengalihkan pandangan manusia daripada memanggil sesuatu atas dasar ras dan kesukuan melampau kepada panggilan yang menghargai jasa dan bakti melalui perbuatan yang digerakkan tangan dan kaki. Di sinilah mustahaknya rukun uslub (pendekatan) itu secara jujur difahami dan dilaksanakan dalam empat rukun dakwah selain daie (penyeru), mad’u (penerima seruan) dan maudu’ (subjek seruan). Termasuk dalam rukun uslub itu ialah sejauh mana berkesannya gelaran kita, panggilan dan seruan kita bagi mereka yang kita target sebagai penerima seruan. Oh, saudara tentunya lebih arif kerana telah memegang pelbagai ijazah syariah. Namun, cukuplah saya mengingatkan bahawa Junta Burma bunuh Muslim Rohingya atas dasar 'sejarah' dan istilah 'pendatang'. Dan adalah ironi andai mulut kita marah pada Junta Burma sedangkan kaki dan tangan kita sedang menuruti langkah mereka. Akhirnya, bersempena program Hujung Minggu Pelajar Tua MCKK hujung minggu ini di samping Hari Guru 16 Mei tidak lama lagi, saya kira rata-rata anak didik Mr Tan dengan bangganya akan mengatakan – Saudara, Tan Gim Hoe itu guru kami. Dan Tan Gim Hoe bukan seorang penceroboh. Terima kasih, Saudara Sang Penuduh bahawa Bangsa Cina Penceroboh - kerana saudara, saya terkenang guru-guru saya semula. Ia amat berharga dan terlalu bernilai untuk diingati. Selamat Hari Guru kepada semua guru tanpa mengira siapa pun anda! Muhammad Za'im Mohamad Yusoff Pinggiran Subang Jaya, Selangor

Tiada ulasan: